Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican.
Firdaus Hashim


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bersambung pada 26 Ogos ini kekal mengikut jadual seperti mana yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

Jelasnya, beliau turut menolak dakwaan segelintir pihak mengatakan Mesyuarat Mingguan Jawatankuasa Khas esok yang akan membincangkan mengenai penangguhan adalah tidak benar.

Katanya, ia adalah mesyuarat biasa yang diadakan pada setiap minggu.

"Saya ada berhubung dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri dan beliau mengesahkan tiada perbincangan atau nasihat baru mengenai penganjuran acara sukan seperti Liga M.

"Ia adalah rutin biasa dan sebarang nasihat serta arahan baru akan diperinci atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

"Keputusan untuk benarkan Liga M berlangsung tanpa penonton masih kekal. Liga M dijadualkan bermula 26 Ogos 2020 ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM memberi lampu hijau buat acara sukan berkontak dimainkan termasuk Liga M yang ditangguhkan oleh MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak Mac lalu.

Saingan Liga Super akan kembali bersambung pada 26 Ogos ini manakala Piala Malaysia bakal bermula pada 17-18 Oktober.

Malah, semua pasukan sudah dibenarkan oleh MFL untuk mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos lalu membabitkan antara pasukan Liga Super dan Liga Perdana sahaja.

Sementara itu, Reezal Merican mahu MFL memastikan setiap pasukan mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) sebelum, sedang dan selepas perlawanan bagi mengelak penularan Covid-19.

Antara SOP yang ditetapkan MFL bagi operasi perlawanan ialah tiada upacara bersalam sebelum dan selepas perlawanan, perkongsian sebarang peralatan peribadi tidak dibenarkan dan pemain simpanan perlu ditempatkan di tempat duduk penonton dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter serta memakai pelitup muka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:00 PM