PKBM memang boleh membentuk satu lagi pasukan selain pasukan kebangsaan dan dua pasukan benua sedia ada bagaimanapun ia memerlukan kos yang tinggi. FOTO NSTP
PKBM memang boleh membentuk satu lagi pasukan selain pasukan kebangsaan dan dua pasukan benua sedia ada bagaimanapun ia memerlukan kos yang tinggi. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


IMPIAN untuk menubuhkan pasukan bawah 23 tahun di bawah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak mungkin dapat direalisasikan dalam waktu terdekat ini.

Kantung PKBM yang berada dalam keadaan 'nazak' dan hampir muflis itu antara salah satu faktor mengapa idea itu tidak dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab menyifatkan ia sebagai satu cadangan yang baik untuk memberi lebih banyak peluang dan ruang buat pelumba muda negara menyerlah di peringkat lebih tinggi.

Katanya, PKBM memang boleh membentuk satu lagi pasukan selain pasukan kebangsaan dan dua pasukan benua sedia ada - Terengganu Cyclinbg Team (TSG) dan Team Sapura Cyling (TSC) bagaimanapun ia memerlukan kos yang tinggi.

"Ia memang satu cadangan yang baik. Tengoklah macam mana nanti, mungkin saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk menubuhkan satu kumpulan bawah 23 dan satu kumpulan untuk yang lebih umur.

"Mungkin kita boleh serapkan pelumba yang menang di Sukma (Sukan Malaysia) boleh diserapkan ke dalam skuad bawah 23 seterusnya mereka boleh menjadi pelapis kepada skuad senior yang sedia ada.

"Tapi masalahnya sekarang adalah apabila budak-budak ini tak menang di Sukan SEA, MSN tidak lagi memberi peruntukan kepada mereka. Itu yang jadi masalah.

"PKBM nak ambil duit daripada mana untuk tanggung mereka. Nak mencari penaja bukan mudah sekarang ini dengan apa yang sudah berlaku dalam PKBM sebelum ini," katanya.

PKBM sebelum ini berdepan dengan hutang dengan salah satu syarikat korporat berhubung isu penyelewengan wang tajaan sekali gus menyebabkan PKBM terpaksa menanggung hutang lebih daripada RM350,000 dan hingga kini bebanan hutang itu masih lagi belum dilunaskan sepenuhnya.

Atas sebab itu, Abu Samah berkata, adalah sukar bagi PKBM untuk mencari penaja baru selepas insiden hitam yang berlaku mencemarkan imej PKBM.

"Nak bina kepercayaan penaja bukan satu yang mudah. Sekarang ini PKBM masih lagi menanggung hutang RM60,000 dan selepas menyelesaikan hutang RM260,000," katanya. tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 9:20 PM