OSIMHEN bakal menjadi pertaruhan terbaru Napoli. FOTO AFP
OSIMHEN bakal menjadi pertaruhan terbaru Napoli. FOTO AFP
AFP

VICTOR Osimhen menandatangani kontrak bersama Napoli selepas kelab Serie A itu memecah rekod pembelian termahal sebanyak €80 juta (RM399 juta) untuk mendapatkan penyerang Nigeria itu dari Lille.

Sumber dari Lille yang sangat terkenal dengan urusan perpindahan memberitahu AFP bahawa pasukan Ligue 1 itu akan menerima €70 juta (RM349 juta) dengan berpotensi mendapat nilai tambahan lagi €10 juta (RM49 juta).

Selepas itu pemain berkenaan disahkan sendiri oleh Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, bahawa Osimhen menandatangani kontrak selama lima tahun.

"70 juta euro akan dibayar untuk kontrak selama lima tahun dan 10 juta euro lagi adalah bonus mengikut pencapaian.

"Kontraknya akan bermula dengan empat juta euro setahun dan secara berperingkat akan meningkat 4.5 juta euro sehingga ia tamat," kata De Laurentiis.

Nilai keseluruhan perpindahan Osimhen, 21, menjadikannya salah seorang pemain termahal dalam sejarah Serie A dan ia hampir dua kali ganda dengan rekod terdahulu Napoli yang membelanjakan €40 juta (RM199 juta) untuk membawa masuk Gonzalo Higuain pada 2013 serta Hirving Lozano tahun lalu.

Perpindahannya ke Napoli dilaporkan secara meluas dalam tempoh seminggu namun De Luarentiis berkata ia tertangguh selepas Osimhen memecat dua ejennya dan melantik yang baru.

Osimhen menjaringkan 18 gol musim lalu dan musim ini dalam saingan yang ditamatkan lebih awal dia meledak 13 gol tatkala Lille menamatkan aksi di tempat keempat.

Perpindahn itu akan menyaksikan Lille meraih keuntungan tinggi selepas menerima £72 juta (RM399 juta) dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal yang mendapatkan Nicolas Pepe.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 2:20 PM