CHENG Hoe (tengah) bersetuju dengan penundaan Piala AFF. FOTO Aizuddin Saad
CHENG Hoe (tengah) bersetuju dengan penundaan Piala AFF. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


KEPUTUSAN Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) menunda saingan Piala AFF ke tahun hadapan dianggap tepat oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Saingan Piala AFF yang sepatutnya berlangsung pada November ini terpaksa ditunda ekoran penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbingkan terutama dirantau ini.

Jelas Cheng Hoe, keputusan AFF diambilnya dengan positif sambil mengakui ia turut memberi manfaat buat anak buahnya apabila mendapat ruang yang lebih besar untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Bagi saya ia keputusan yang bagus untuk pasukan kebangsaan kerana dapat bagi tumpuan kepada kelayakan Piala Dunia pada Oktober dan November nanti.

"Mereka perlu bersama kelab dan pasukan negara sekali gus memberi cabaran baru buat pemain. Tahun ini semua tahu kebanyakan pemain sudah hampir tiga bulan tidak berlatih bersama kelab diwakili dan tidak bermain dalam perlawanan kompetitif dalam tempoh yang agak lama.

"Kalau AFF diteruskan bakal menyaksikan pasukan negara perlu mengharungi perlawanan pada Oktober, November dan Disember kemungkinan besar akan beri tekanan tinggi kepada pemain yang ketika ini belum cukup bersedia dari segi mental dan fizikal," katanya.

Bagaimanapun, Cheng Hoe menjangkakan jadual skuad kebangsaan pasti akan bertambah padat tahun depan susulan penundaan itu namun beliau menganggap sebagai satu cabaran baharu buat pasukannya nanti.

"Sudah tentu penundaan itu bukan 100 peratus perkara yang baik kerana tahun depan pemain yang terlibat dengan pasukan negara akan melalui jadual perlawanan yang padat," kata pengendali yang berasal dari Kedah itu.

Berdasarkan jadual kelayakan Piala Dunia itu, Malaysia dijangka sibuk bermula dengan aksi menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober.

Skuad negara juga bakal diuji dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking 147 dunia iaitu Kuwait pada bulan November sebelum menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Ketika ini, skuad kendalian Cheng Hoe berada di tangga kedua dalam kumpulan G kempen kelayakan dengan sembilan mata selepas mencatat tiga kemenangan ke atas Indonesia (dua kali) dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 6:42 PM