Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Syazwan Msar


PEMINAT bola sepak tanah air mungkin boleh melepaskan 'gian' untuk menonton perlawanan di stadium dengan kemungkinan pihak berkaitan akan memberi kebenaran 10 hingga 20 peratus penonton pada fasa kelima nanti.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ketika ini fasa empat sudah pun mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kebenaran diberikan bagi penganjuran kejohanan tanpa kehadiran penonton bermula 15 Ogos ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu terlalu taksub untuk membuka fasa seterusnya bagi sektor sukan bertujuan mengelak risiko penularan Covid-19 sekali gus tercetus 'kluster sukan'.

"Namun, setakat ini tiada lagi di dunia yang membenarkan kejohanan atau pertandingan bola sepak dihadiri penonton. Jadi, saya fikir kita mulakan secara berperingkat dan beransur-ansur.

"Sebab, kita tidak mahu nanti kita buka terlalu cepat, berlaku sebarang bentuk penularan ... akhirnya akan jadi kluster sukan. Ia pastinya akan menghakiskan bukan sahaja keyakinan rakyat tetapi kerajaan juga untuk beri kebenaran," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-193 di Wisma MOM hari ini.

Sebelum itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan Liga Malaysia musim 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos selepas enam bulan ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding.

Malah, beliau percaya tarikh baharu saingan Liga Malaysia tersebut adalah yang terbaik buat kesemua pasukan dibenarkan berlatih secara bersentuhan bermula Rabu lalu.

MFL kekal dengan format pertandingan Liga Super, Liga Perdana di mana saingan secara separuh liga sahaja.

Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

Begitu juga dengan pertandingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November manakala Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Format pertandingan Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 6:00 PM