Pertahanan Inter Milan, Diego Godin (kiri) menghalang pemain Torino dalam saingan Serie A. FOTO AFP
Pertahanan Inter Milan, Diego Godin (kiri) menghalang pemain Torino dalam saingan Serie A. FOTO AFP
AFP

INTER Milan hanya selangkah dalam perebutan saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pasukan berdepan ancaman penyingkiran, Torino, 3-1 dan berjaya melonjak tempat kedua Serie A.

Pasukan kendalian Antonio Conte mengatasi Atalanta dan Lazio untuk berada lapan mata di belakang pendahulu liga, Juventus.

Dua gol awal pada babak kedua sumbangan Ashley Young dan Diego Godin serta satu lagi gol daripada Lautaro Martinez selepas sejam perlawanan melengkapkan kemenangan itu.

Kelab Milanese itu menyamai 68 mata dengan skuad kurang menyerlah Lazio yang dimalukan kekalahan 1-2 di Sassuolo pada Jumaat lalu dan satu mata di depan pasukan yang meningkat naik Atalanta di kedudukan keempat liga.

"Sangat penting untuk memenangi perlawanan seperti ini dengan bagaimana cara yang boleh... saya fikir kami berhak kemenangan ini," kata Godin kepada Sky Sport Itali.

"Kami kini berada di kedudukan kedua dan kami mahu terus mencatat kemenangan... mari kita lihat di mana kedudukan kami selepas tamat saingan tetapi ia sangat sukar untuk mendekatkan jurang dengan Juventus."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:26 AM