MFL akan memastikan semua stadium dapat digunakan dengan selamat sebelum saingan liga bersambung
MFL akan memastikan semua stadium dapat digunakan dengan selamat sebelum saingan liga bersambung
Oleh Syazwan Msar


ADAKAH stadium bola sepak di seluruh negara selamat untuk digunakan selepas hampir empat bulan 'terbiar' kerana krisis Covid-19?

Perkara terbabit menjadi persoalan apabila pelbagai pihak terlalu 'ghairah' untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula namun terlupa isu keselamatan stadium.

Besar kemungkinan ada di antara struktur bangunan atau keadaan padang sudah rosak akibat tidak diselenggara secara berkala.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan bertanggungjawab terhadap penganjuran liga sudah tentu melihat perkara berkenaan sebagai isu utama yang utama yang perlu ditangani bagi memastikan ia selamat digunakan selain tidak mempunyai masalah lain hingga boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.

Malah walaupun pasukan berkenaan sudah mendapat 'lampu hijau' untuk menjalani latihan dan beraksi dalam saingan Liga M seperti biasa namun mereka sebenarnya perlu melepasi halangan terakhir iaitu keadaan stadium perlu selamat digunakan selepas hampir empat bulan 'terbiar' susulan pandemik Covid-19.

Perkara terbabit disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan apabila mereka akan melakukan pemeriksaan dalam waktu terdekat ini di semua stadium di seluruh negara sebelum kebenaran diberikan untuk aksi liga bersambung.

Katanya, isu keselamatan penting memandangkan kebanyakan stadium sudah lama tidak digunakan dan perlu diselenggara demi keselamatan.

"Pasukan Liga M perlu melepasi satu lagi 'halangan' iaitu pastikan stadium yang akan digunakan pada pertengahan bulan depan selamat dan tidak mempunyai kerosakan hingga mengancam nyawa.

"Seperti sedia maklum, stadium sudah lama tidak digunakan dan perkara terbabit menjadi kebimbangan jika pemantauan dan pemeriksaan terperinci tidak dilakukan sebelum aksi liga bersambung.

"Jika didapati stadium tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, mungkin pasukan berkenaan perlu mencari stadium lain atau pengurusan mengambil inisiatif membaiki segera," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan semua 24 pasukan Liga M akan memulakan aksi liga lebih awal selepas mendapat lampu hijau daripada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang berlangsung di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membawa cadangan pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa 3 dan 4 turut menyaksikan beberapa jenis sukan bersentuhan juga dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 6:00 AM