AKSI Wolff pada pusingan ketiga Rocket Mortgage Classic. FOTO AFP
AKSI Wolff pada pusingan ketiga Rocket Mortgage Classic. FOTO AFP
AFP

MATTHEW Wolff melakukan catatan lapan bawah par 64 pada hari ketiga untuk mendahului tiga pukulan di kejohanan Rocket Mortgage Classic.

Pemain Amerika berusia 21 tahun itu yang sedang memburu gelaran kedua Jelajah USPGA, melakukan eagle di lubang ke-14 sebelum membenam birdie di lubang 15 dan 17.

Wolff mencatat 19 bawah par 197 selepas berakhir hari ketiga, tiga pukulan mendahului rakan senegara, Bryson DeChambeau dan Ryan Armour menjelang pusingan terakhir di Detroit Golf Club.

DeChambeau yang menduduki ranking ke-10 serta pemain veteran, Armour berkongsi kedudukan kedua selepas kedua-duanya mencatat 16 bawah par 200 selepas berakhir pusingan ketiga.

Wolff yang terlepas cut pada kejohanan sama tahun lalu berkata, dia melakukan tugas dengan baik selain meminimumkan kesilapan dengan mengawal emosi dirinya.

"Saya tidak mahu memikirkan mengenai pesaing lain. Ia membantu mengatasi tekanan dan mengekalkan momentum saya.

"Nampaknya segala-galanya berjalan dengan baik," katanya.

Satu-satunya kemenangan yang diraih Wolff setakat ini di jelajah itu adalah ketika mendominasi kejohanan 3M Open di Blaine, Minnesota pada tahun lalu.

Kemenangan itu juga membolehkannya menyertai Tiger Woods dan Ben Crenshaw sebagai pemenang Jelajah PGA untuk merebut kejuaraan NCAA US pada tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 1:03 PM