SCHMEICHEL   menyelamatkan sepakan penalti  Maupay. FOTO AFP
SCHMEICHEL menyelamatkan sepakan penalti Maupay. FOTO AFP
AFP

BRENDAN Rodgers memuji Kasper Schmeichel sebagai bertaraf dunia selepas penjaga gol Leicester itu menyelamatkan sepakan penalti Neal Maupay ketika seri 0-0 dengan Brighton, awal pagi tadi.

Schmeichel menyelamatkan Leicester apabila merebahkan badan ke sebelah kanan untuk menyelamatkan penalti Maupay pada awal babak pertama di Stadium King Power.

Leicester yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana gagal mempamerkan prestasi sebenar dalam aksi ke-50 Rodgers mengendalikan skuad.

"Kasper tangkas dan bijak menyelamatkan penatli, dia sangat berharga," kata Rodgers merujuk pemain antarabangsa Denmark itu.

"Dia penjaga gol bertaraf dunia. Tiada keraguan dia salah seorang penjaga gol terhebat di liga ini. Dia mengkaji karakter pengambil penalti dan pergerakannya lancar. Kasper sangat cemerlang dalam dua perlawanan."

The Foxes kini empat mata di atas pasukan di tangga keempat Chelsea dan sembilan mata mengatasi Manchester United di tempat kelima dalam misi layak ke Liga Juara-Juara.

Brighton melonjak enam mata di atas zon penyingkiran tetapi kegagalan Maupay menafikan mereka meraih tiga mata berturut-turut selepas penyerang Perancis itu menjaringkan gol kemenangan menewaskan Arsenal, Sabtu lalu.

Brighton memberikan peluang kepada Tariq Lamptey, 19, dan Alexis Mac Allister, 21, tampil kali pertama dalam skuad Graham Potter sekali gus skuad paling muda pernah diturunkan Seagulls dalam aksi Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:57 AM