PIQUE (tengah) sedar bahawa keputusan seri awal pagi tadi bakal memberi kelebihan kepada Real. FOTO AFP
PIQUE (tengah) sedar bahawa keputusan seri awal pagi tadi bakal memberi kelebihan kepada Real. FOTO AFP
AFP

GERARD Pique berkata perlumbaan merebut kejuaraan La Liga akan memihak kepada Real Madrid selepas Barcelona hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Sevilla awal pagi tadi.

Ini adalah kali pertama Barca gagal meraih tiga mata sejak liga kembali bersambung dan Real mampu untuk merampas kedudukan teratas hujung minggu ini.

Selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Valencia Khamis lalu, pasukan Zinedine Zidane akan menyamai mata dengan The Catalan jika mereka mampu menumpaskan Real Sociedad awal pagi Isnin dan memintas mereka berdasarkan rekod pertemuan sesama sendiri.

"Melihat apa yang kami sudah lakukan dalam dua perlawanan terakhir, ia dilihat sangat sukar untuk memenangi kejuaraan liga.

"Apa yang saya lihat, ia sangat sukar buat Madrid untuk kehilangan mata," kata Pique.

Ditanya mengenai analisis Pique, jurulatih Barcelona, Quique Setien menganggap apa yang diluahkan oleh pemainnya itu lebih kepada kekecewaan.

"Saya rasa dia berkata begitu sebab dia kecewa. Saya masih optimis. Saya rasa ia akan menjadi sukar untuk semua orang bagi mencari mata maksimum," kata Setien.

Sementara itu, satu mata dianggap sangat berharga buat Sevilla apabila boleh menjarakkan diri dengan Getafe di atas kelebihan lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 2:26 PM