PANDELELA tidak sabar untuk kembali ke kolam. FOTO Owee Ah Chun
PANDELELA tidak sabar untuk kembali ke kolam. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


LEGA dan gembira. Itu yang dinyatakan oleh ratu terjun negara, Pandelela Rinong apabila dapat kembali menjalani latihan selepas tiga bulan dipaksa untuk berehat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dia sudah tidak sabar untuk kembali ke kolam dan teruja menjalani latihan yang dirasakan perlu dimulakan secepat mungkin.

Banyak perkara yang perlu dilakukannya dalam tempoh sebulan berada di Kem Latihan Pusat Program Road To Tokyo (RTT) dan kini menunggu jadual latihan daripada jurulatih Li Rui dan Christian Brooker.

"Saya gembira dapat kembali seperti dulu biarpun terpaksa melalui peraturan yang ketat berbanding ketika PKP dulu. PKP dulu saya masih boleh keluar tapi kali ini tak dibenarkan untuk keluar tapi tak mengapa asalkan dapat kembali berlatih.

"Kalau tak buat macam ini, kami tak dapat berlatih. Jadi SOP ketat ini tak menjadi masalah asalkan saya dapat kembali ke kolam," katanya.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio dalam acara 10 meter (m) terjun seirama itu melaporkan diri semalam di kem latihan pusat bersama-sama sembilan lagi atlet terjun yang lain.

Antaranya Leong Mun Yee, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri, Cheong Jun Hoong, Ooi Tze Liang, Chew Yiwei, Hanis Nazirul Jayasurya, Jellson Jabillin dan Mohammad Syafiq Puteh.

Pandelela dijadual menyertai acara 10m platform wanita selain bergandingan bersama Mun Yee dalam acara 10m platform seirama wanita di temasya Olimpik Tokyo nanti selepas meraih pingat perak di Kejohanan Terjun Dunia di Gwangju, Korea tahun lalu.

Selain Pandelela dan Mun Yee, turut layak adalah Dhabitah dan Wendy masing-masing dalam acara 3m papan anjal wanita.

Kem latihan pusat buat atlet RTT bermula 1 Jun lalu dan akan tamat 30 Jun ini. Bagaimanapun belum ada sebarang keputusan sama ada ia akan diteruskan atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 8:06 PM