BOLSONARO sedar pemain perlu terus beraksi di Brazil untuk kelangsungan hidup dan menampung keluarga. FOTO AFP
BOLSONARO sedar pemain perlu terus beraksi di Brazil untuk kelangsungan hidup dan menampung keluarga. FOTO AFP
AFP

PRESIDEN Brazil, Jair Bolsonaro mahu saingan bola sepak domestik disambung semula walaupun negara juara Piala Dunia lima kali itu menjadi kawasan panas tempat penularan Covid-19.

Brazil yang sinonim dengan sukan bola sepak dan melahirkan ramai pemain terhebat sepanjang zaman dari Pele hingga Neymar.

Bagaimanapun, Brazil juga menjadi pusat penularan utama wabak berkenaan dalam kalangan negara Amerika Latin.

Jumlah kematian di Brazil akibat pandemik itu mencecah 27,878 orang seperti dilaporkan pihak berkuasa Jumaat lalu, mengatasi Sepanyol dan negara kelima tertinggi di dunia.

Saingan bola sepak ditangguhkan di Brazil sejak pertengahan Mac lalu namun Bolsonaro baru-baru ini memberitahu Radio Guaiba bahawa pemain tidak mudah terkesan dengan Covid-19.

"Pemain bola sepak adalah atlet muda, risiko kematian jika mereka dijangkiti Covid-19 boleh menurun," kata Bolsonaro.

Beliau juga mendakwa, disebabkan aktif bersukan sebelum ini beliau hanya mendapat demam biasa jika dijangkiti virus.

Selain itu, Bolsonaro mahu saingan bola sepak disambung semula kerana mahu mengatasi masalah pengangguran dan menamatkan penantian bagi pemain yang terbabit dengan sukan berkenaan.

"Pemain perlu meneruskan kehidupan mereka," katanya sambil menjelaskan ketika sebahagian pemain terkenal menerima bayaran lumayan, pemain di liga bawahan perlu bermain untuk 'menampung keluarga'.

Bagaimanapun, berdasarkan sistem politik di Brazil, ia bukan kata putus daripada Bolsonaro untuk membolehkan bola sepak disambung semuka kerana ia harus dilakukan pihak berkuasa negeri dan majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 2:20 PM