HAMILTON mengakui berasa janggal beraksi tanpa kehadiran penyokong. FOTO AFP
HAMILTON mengakui berasa janggal beraksi tanpa kehadiran penyokong. FOTO AFP
Agensi

LEWIS Hamilton berasakan beraksi tanpa penonton akan menyebabkan 'perasaannya kosong' tetapi dia menerima langkah itu bagi memastikan saingan musim ini dapat dilangsungkan selepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Hamilton bersama dengan 19 lagi pesaing lain, ketika ini sedang menunggu lampu hijau daripada pengurusan Formula Satu (F1) untuk memulakan perlumbaan musim ini.

Grand Prix Austria bermula 3 hingga 5 Julai depan kemungkinan besar akan menjadi perlumbaan pembuka tirai musim ini meskipun ia dilangsungkan tanpa penonton selain melalui peraturan yang ketat bagi memastikan keselamatan mereka yang berada di paddock.

Hamilton mengakui berasa janggal beraksi tanpa kehadiran penyokong di tempat duduk penonton selain berasakan situasi itu lebih teruk berbanding ketika sesi ujian jentera.

"Ia membuatkan perasaan saya berasa kosong kerana peminat sentiasa menghidupkan suasana perlumbaan.

"Setiap negara di seluruh dunia yang kami kunjungi, lebih ramai penyokong, lebih hebat suasananya.

"Lebih menarik lagi apabila mendapat mesej daripada peminat di seluruh dunia bahawa mereka kecewa kerana tidak dapat menyaksikan acara sukan dan ia menunjukkan betapa sukan sangat dekat di hati semua orang.

"Ia menyatukan kita semua. Jadi saya tidak tahu bagaimana perasaan orang ramai apabila hanya dapat menyaksikan perlumbaan di televisyen tetapi ia sudah cukup baik berbanding tiada perlumbaan.

"Bagi kami, ia seperti sesi ujian jentera atau mungkin lebih teruk daripada itu kerana tiada yang hadir menyaksikan kami.

"Anda hanya dapat melihat tempat duduk kosong ketika beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 6:58 PM