RONALDO bersama anak  di dalam jet peribadi miliknya. FOTO Agensi
RONALDO bersama anak di dalam jet peribadi miliknya. FOTO Agensi
Agensi

BINTANG Juventus, Cristiano Ronaldo, 35, pulang ke Turin, Itali hari ini selepas menjalani tempoh perintah berkurung selama hampir dua bulan bersama keluarga di Portugal susulan pandemik koronavirus.

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu tiba dari Madeira dengan menaiki jet peribadi jenis Gulfstream G200 bernilai £20 juta (RM107 juta) yang dibelinya pada 2015.

G200 yang nama asalnya 'Astra Galaxy', mampu mencapai kelajuan 560 km/j dan mampu menerbangkan Ronaldo dari Lapangan Terbang Funchal ke Turin-Caselle dalam tempoh hampir enam jam 25 minit sekaligus penerbangan pantas dari Portugal ke Itali atau Sepanyol.

G200 turut mempunyai komposisi tempat duduk ubah suai yang luas dan mampu memuatkan sehingga 10 penumpang pada satu-satu masa.

Selepas penerbangan pertama pada 1997 dan mendapat sijil daripada Agensi Penerbangan AS pada 1998, G200 mula berada di pasaran pada 1999.

Bagaimanapun, pengeluarannya hanya terhad 250 buah yang menjadikan pembelian Ronaldo tampak lebih eksklusif.

Keluaran terakhir G200 pada 2011 sebelum pesawat G250 mula mengambil alih populariti.

Jadi, pesawat terbabit sudah pastinya klasik! Dengan harga RM107 juta, G200 sarat dengan kemudahan seperti pesawat mewah.

Selain mempunyai tempat duduk boleh diubahsuai kedudukannya, pesawat milik Ronaldo itu dipasang kabinet yang diletakkan pakaian berjenama. Terdapat Wi-Fi, telefon, mesin faks, oven elektrik, microwave, peti ais dan sistem hiburan.

Mereka yang terbang bersama CR7 turut berpeluang menonton filem koleksi jaringan terhebat superstar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 8:39 PM