Agensi

DIA mungkin berjaya memenangi banyak trofi, menjaringkan lebih 100 gol sepanjang karier selain 56 kap England tetapi penyerang Manchester City, Raheem Sterling tidak akan berpuas hati selagi tidak memiliki sesuatu dalam koleksinya - jersi Lionel Messi.

Walaupun memiliki berpuluh jenis jersi milik pemain ternama, hanya jersi milik bintang Barcelona itu yang masih gagal menghiasi kabinetnya.

"Hanya satu yang sangat saya kehendaki dan ia adalah jersi Messi," kata Sterling sebelum aksi menentang pemain Everton, Andre Gomes dalam kejohanan Jemputan Liga ePremier, semalam.

"Ketika menentang Barcelona, saya berjaya dapatkan jersi Neymar dan ia jersi pertama pernah saya minta.

"Apabila kerjaya bola sepak saya tamat dan menetap di sesuatu tempat, saya berharap dapat memiliki banyak jersi untuk dipakai, memilih jersi diminati dan kemudian membuat bilik khusus untuk trofi dan jersi.

"Saya pengumpul jersi tetapi saya belum lagi menggantungnya di dinding rumah setakat ini. Saya tak suka orang datang ke rumah dan mengenali saya sebagai pemain bola sepak. Saya lebih gemar rumah bercirikan keluarga."

Walaupun jersi Messi menduduki senarai nombor satu harta mahu dimilikinya, terdapat seorang lagi pemain Barcelona yang menjadi inspirasi Sterling.

"Ronaldinho, dia orangnya," kata Sterling kepada BBC Sport. "Jika anda melihat sejarah saya di Youtube, saya kerap menyorot kembali karier dia. Saya selalu ke kebun dan cuba meniru apa yang dilakukan Ronaldinho tetapi saya gagal walaupun mencuba yang terbaik. Dia sangat istimewa. "

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 11:56 AM