PERLUMBAAN F1 kali terakhir dianjurkan di negara ini pada 2017. FOTO Arkib NSTP
PERLUMBAAN F1 kali terakhir dianjurkan di negara ini pada 2017. FOTO Arkib NSTP
Saiful Affendy Sapran

FORMULA Satu (F1) tidak mustahil dianjurkan semula di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekiranya perlumbaan berprestij itu dapat menawarkan sesuatu yang menarik.

Demikian pandangan Ketua Pegawai Eksekutif SIC baharu, Azhan Shafriman Hanif yang tidak menolak kemungkinan untuk F1 kembali dianjurkan di negara ini selepas kali terakhir pada 2017.

Azhan bagaimanapun berkata, ketika ini pihaknya perlu bersikap realistik F1 tidak dapat dianjurkan dalam tempoh terdekat.

“Sebelum ini kita sudahpun membuat kajian berhubung penganjuran F1 terhadap impak ekonomi di Malaysia. Tapi saya tidak pernah menolak untuk kemungkinan F1 kembali semula.

‘Sebab masih ada peminat tegar di Malaysia yang meminati perlumbaan itu. Apa yang boleh saya katakan ialah bila ada tawaran menarik, kami mungkin tertarik sebelum mendengar dan menilai sebarang kemungkinan untuk menganjurkannya semula,” katanya.

Azhan berkata, pada anggapannya F1 masih lagi mempunyai potensi besar dan popular dalam sukan permotoran.

“Tapi untuk ketika ini, ia bukanlah keutamaan kami. Andai kata ia mahu dianjurkan semula, perbincangan secara terperinci perlu dilakukan bersama pihak kerajaan,” katanya ketika sesi sidang video bersama media.

Sementara itu berhubung dana kepada pelumba Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah yang sudah diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Azhan berkata pihaknya akan menyerahkan dana itu kepada pelumba Aspar itu dalam tempoh terdekat.

“Sebaik kami menerima dana itu, ia akan terus diberikan kepada Hafizh,” katanya.

KBS menerusi satu kenyataan sebelum ini berkata, dana itu akan diserahkan melalui SIC sebagai badan pemantau program pembangunan sukan permotoran di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 7:45 AM