RONALDO bersenam (kanan) dan mengajar anak kecilnya cara membasuh tangan.
RONALDO bersenam (kanan) dan mengajar anak kecilnya cara membasuh tangan.
Agensi

KETIKA superstar bola sepak lain seperti Lionel Messi menyertai cabaran #StayAtHome, kapten Portugal dan bintang Juventus, Cristiano Ronaldo turut melakukan aktiviti bersama keluarga sepanjang tempoh kuarantin susulan wabak Covid-19.

Langkah penjarakkan sosial bagi membendung penularan virus itu menyebabkan pemain tinggal di rumah dengan aktiviti sukan di Eropah digantung sehingga April.

Ronaldo diberi lampu hijau oleh kelabnya pulang ke Madeira sebelum Itali melaksanakan kawalan pergerakan (lockdown).

Skuad Juventus dikenakan kuarantin selepas Daniele Rugani didapati positif Covid-19 tetapi Ronaldo tetap dibenarkan pulang bagi menjaga ibunya, Maria Dolores yang diserang strok.

Selepas Maria pulih, Ronaldo kekal di Madeira bersama keluarganya.

RONALDO bersenam menggunakan bola besar walapun dikacau anaknya.
RONALDO bersenam menggunakan bola besar walapun dikacau anaknya.

Sepanjang tempoh kuarantin di rumah, Ronaldo berkongsi foto sebahagian aktivitinya untuk tatapan peminat seperti mengajar anak-anaknya cara yang betul membasuh tangan.

Seperti seorang jurulatih, Ronaldo menunjukkan demonstrasi membasuh tangan menggunakan cecair pembasmi kuman kepada tiga anaknya yang duduk di atas kerusi tinggi.

Penyerang Juventus itu turut berkongsi foto dia berlatih di rumah sama seperti bintang bola sepak yang lain.

Dengan menggunakan beberapa alat senaman, Ronaldo tidak ketinggalan menekankan kepentingan tinggal di rumah dan mempraktiskan penjarakkan sosial. Menurutnya: “Jika anda teringin bermain untuk jutaan orang di seluruh dunia, ini peluang anda sekarang. Bermain di dalam, bermainlah untuk dunia.”

Selain itu dia turut menggesa masyarakat mematuhi garis panduan dikeluarkan WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) bagi melindungi diri daripada Covid-219 seterusnya mencegah wabak itu daripada merebak.

Dalam Instagramnya, Ronaldo memuatnaik foto WHO yang tertera cara terbaik melindungi diri daripada virus sambil menambah kapsyen: "Hai semua, sedikit mesej daripada saya dan peringatan wajib untuk kita melindungi diri dan orang kesayangan. Tolong kekal selamat. #stayhome #staysafe."

Teman wanitanya, Georgina Rodriguez turut berkongsi dalam Instagramnya tentang penghargaan kepada petugas perubatan di seluruh dunia yang terbabit mengekang penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 12:10 PM