CHONG Wei berkongsi sekeping gambar di status terbarunya. FOTO FB Chong Wei
CHONG Wei berkongsi sekeping gambar di status terbarunya. FOTO FB Chong Wei
Saiful Affendy Sapran


“I (saya) minta tolong semua duduk di rumah jangan keluar sementara ini. Jangan balik kampung macam cuti raya. Kau mungkin ok, tapi yang mati nanti orang tersayang.

“Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. Jangan panik. Kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak ansur, tolong menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat.”

Demikian nasihat bekas jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang meminta seluruh rakyat Malaysia agar tinggal di rumah dan tidak mengambil kesempatan daripada kelonggaran cuti berikutan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) dengan berpusu-pusu pulang ke kampung.

Menerusi status terbaharu di Facebook miliknya, Chong Wei juga mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan yang terdiri daripada doktor, jururawat serta kakitangan hospital yang terus berkhidmat meskipun berdepan risiko besar.

“Kepada frontliners (barisan hadapan), doktor, jururawat, kakitangan hospital dan juga cashier (juruwang) pasaraya yang terus berkhidmat dalam masa ini, terimalah tunduk hormat dari saya!,” katanya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu juga sempat berkongsi kisah lucu berdepan situasi pembelian panik ketika berkunjung ke sebuah pasaraya selepas diminta isterinya, Datin Wong Mew Choo untuk berbuat demikian.

“Dua hari lalu, ada khabar angin kawalan pergerakan berkenaan koronavirus ini. Jadi Mew Choo pun suruh pergi beli apa yang patut untuk dua minggu ni. Dia add maths (matematik tambahan) lagi pandai, jadi saya ikut ‘shopping list’ isteri.

“Family empat orang, ayam lima ekor, beras satu beg, sayur (untuk) dua minggu, maggi dua pek, telur dua dozen, buah, toilet paper (tisu tandas) satu beg.

“Tapi bila sampai supermarket (pasaraya), aduhai! Ramainya makcik dan pakcik berlumba maraton dengan troli. Kalah Khairul Hafiz Jantan!.

“Nasib baik sempat lagi dapatkan ‘shopping list’ isteri. Tapi tisu tandas saya terlambat. Ternganga saya tengok mamat depan tapao (borong) 10 beg tisu jamban,” katanya.

Jelas Chong Wei, mujur seorang rakannya berada di situ menegurnya dan memberikan lebihan tisu tandas yang diambilnya.

“Dia Nazir, sahabat yang tinggal berhampiran. Kita tergelak dan berbual sedikit. Selepas itu makin ramai ‘gangster troli serbu’, saya pun terus cabut sebab tahu virus ini merebak (dengan) mudah,” katanya.

“Kawan sekalian, saya berharap agar jangan cemas menghadapi krisis ini. Simpanlah makanan tapi berpatutanlah bilangannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 10:59 PM