MESSI (tengah) bersama Ronaldinho (kiri) dan Samuel Eto’o pada 2005. FOTO Agensi
MESSI (tengah) bersama Ronaldinho (kiri) dan Samuel Eto’o pada 2005. FOTO Agensi
Agensi

LIONEL Messi menafikan dia sedia mengeluarkan £3.25 juta (RM17 juta) untuk membawa Ronaldinho keluar dari penjara, menurut laporan hari ini.

Pemenang Piala Dunia dari Brazil berusia 39 tahun itu ditahan minggu lalu selepas didakwa masuk ke Paraguay menggunakan pasport palsu.

Ronaldinho bakal berdepan hukuman sehingga enam bulan penjara akibat menggunakan dokumen meragukan.

Terdapat dakwaan Messi berhasrat membantu bekas rakan sepasukannya di Barcelona dengan mengupah peguam handalan menangani kes terbabit dan sedia membayar sehingga £3.25 juta (RM17 juta) untuk yuran perundangan.

RONALDINHO dikawal ketat di penjara. FOTO Agensi
RONALDINHO dikawal ketat di penjara. FOTO Agensi

Bagaimanapun, menurut akhbar terbitan Catalan, Sport, penasihat Messi menegaskan walaupun superstar Argentina itu bersimpati dengan nasib Ronaldinho, dia tidak akan membantu dari segi kewangan.

Legenda Brazil, Ronaldinho gagal dalam rayuan mengenai tahanan remannya di penjara dan usahanya untuk keluar dari penjara dan diletakkan dibawah pengawasan polis di rumah turut ditolak sekali gus bakal berdepan hukuman enam bulan penjara.

Kehidupan Ronaldinho menjadi tumpuan atas sebab yang salah sejak dua kali memenangi Anugerah Pemain Terbaik FIFA selain Ballon d’Or ketika era kemuncaknya sebagai pemain.

Dia bersara secara rasmi daripada bola sepak pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 1:04 PM