Pemain Kedah, Muhammad Hadin Azman (kiri) berebut bola dengan pemain Terengganu, Muhamad Hafizal Mohamad pada aksi Liga Super. FOTO Amran Hamid
Pemain Kedah, Muhammad Hadin Azman (kiri) berebut bola dengan pemain Terengganu, Muhamad Hafizal Mohamad pada aksi Liga Super. FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail


KEDAH gagal dalam misi memungut tiga mata pertama pada saingan Liga Super musim ini apabila tewas 3-4 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Beraksi di hadapan hampir 10,000 penyokong setia, skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan seawal minit ke-2 pelawat menerusi penyerang tinggi lampai Dominique Da Slyva yang melakukan tandukan berpunca dari sepakan sudut oleh Lee Tuck.

Selepas melakukan beberapa gerakan, skuad Lang Merah akhirnya menceriakan penyokong setianya dengan gol pertama pada minit ke-19 selepas bola sepakan percuma oleh Hadin Azman gagal ditangkap kemas penjaga gawang TFC dan kesempatan itu diambil Renan Alves untuk membolosi gawang TFC.

Pemain Kedah, Kpah Sean Sherman (depan) meraikan jaringannya. FOTO Amran Hamid
Pemain Kedah, Kpah Sean Sherman (depan) meraikan jaringannya. FOTO Amran Hamid

Selang dua minit kemudian Stadium Darul Aman kembali gamat dengan sorakan dan kali ini giliran penyerang sensasi Kedah Kpah Sherman yang berjaya menggerakkan bola dengan baik hasil hantaran pemain bek kanan Rizal Ghazali dan seterusnya merembat bola menewaskan Rahadiazli Ramalim.

Babak kedua, menyaksikan Kedah menambah gol ketiga melalui percubaan Kipre Tchetche yang menerjah jaring TFC pada minit ke-61 hasil lorongan Shakir Hamzah.

Keceriaan Kedah tidak kekal lama apabila tiga minit selepas itu, TFC kembali menambah gol kedua melalui Da Slyva yang memperoleh peluang di hadapan gol menerusi sepakan sudut.

Pelawat menambah duka tuan rumah menerusi dua gol pantas dihasilkan Da Slyva pada minit ke-81 dan ke-83.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 11:23 PM