Setiausaha Kehormat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Ashakari Abu Noor bersama Shah Firdaus dan Azizulhasni ketika tiba di KLIA. FOTO Aizuddin Saad
Setiausaha Kehormat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Ashakari Abu Noor bersama Shah Firdaus dan Azizulhasni ketika tiba di KLIA. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang bersyukur walaupun memperoleh pingat gangsa di Kejohanan Berbasikal Dunia di Berlin, Jerman minggu lalu.

Azizulhasni atau dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman menganggap gangsa itu sebenarnya adalah kemenangan yang tertangguh dan kejayaan sebenarnya akan muncul di temasya Olimpik Tokyo, Julai ini.

Malah beliau yakin dengan doa dan sokongan rakyat Malaysia, anak kelahiran Terengganu itu akan membawa pulang emas pertama buat negara di Olimpik nanti.

Cuma pintanya hanya satu, Azizulhasni mengharapkan sokongan dan doa yang berterusan dari rakyat Malaysia kepada dirinya dan juga pasukan berbasikal negara.

“Saya harap rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh di belakang saya dan pasukan. “InsyaAllah sokongan dari anda semua kita akan dapat realisasikan emas di Olimpik,” katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas pulang dari Jerman hari ini.

Azizulhasni menunjukkan dua pingat gangsa yang diraih dalam acara keirin dan pecut dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman.
Azizulhasni menunjukkan dua pingat gangsa yang diraih dalam acara keirin dan pecut dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman.

Azizulhasni atau Jijoe, 32, berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin dan yakin dengan apa yang berlaku itu di Kejohanan Dunia itu adalah qada dan qadar dari Allah.

Katanya, banyak yang dipelajarinya dan pengalaman 15 tahun di arena antarabangsa mengajarnya menjadi matang sehingga dia mampu sampai ke tahap ini - tujuh pingat di Kejohanam Dunia.

“Mengikut pengalaman saya yang lalu jika kita menjadi pelumba pilihan dan apabila pergi ke kejohanan utama, kita akan menjadi fokus pelumba lain. “

Dah berlaku banyak kali. Bila saya menjadi pilihan biasanya akan dihimpit, akan di halang dan di kepung. “Jadi taktik akan berubah dan tiada fleksibiliti dalam perlumbaan. Jadi sekarang biar orang tertumpu pada pelumba Belanda (Harrie Lavresyen).

“Sebab itu saya bersyukur sangat dapat nombor tiga. Saya nampak hikmah dari Allah SWT. Ini percaturan dari Dia,” kata Azizulhasni yang menjadi sandaran utama negara di temasya terbesar dunia itu selepas persaraan Datuk Lee Chong Wei.

Dia menegaskan sebagai ‘abang long’ dia bersedia mengalas tugas itu dan akan berusaha membanggakan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 9:11 PM