JOHNSON memberi alasan jadual padat yang menyebabkannya terpaksa melupakan Olimpik Tokyo 2020. FOTO AGENSI
JOHNSON memberi alasan jadual padat yang menyebabkannya terpaksa melupakan Olimpik Tokyo 2020. FOTO AGENSI
AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia, Dustin Johnson menjadi antara pemain pertama ranking tertinggi menarik diri dari temasya Olimpik tahun ini dengan ejennya memberi alasan jadual padat menjadi punca keputusan berkenaan dibuat.

Johnson yang sekarang ini menduduki ranking kelima dunia layak untuk beraksi di Tokyo mewakili skuad Amerika Syarikat namun dia membuat keputusan sama seperti empat tahun lalu menarik diri dari menyertai Olimpik 2016 di atas kebimbingan virus Zika.

Keputusan pemain berusia 35 tahun itu tidak mahu mengambil bahagian di Olimpik hadir tatkala sukan di seluruh dunia terjejas akibat penyebaran wabak koronavires, yang memaksa beberapa kejohanan berprofil tinggi terpaksa dibatalkan.

Bagaimanapun, ejen Johnson, David Winkle memberitahu ESPN bahawa kliennya membuat keputusan berkenaan adalah disebabkan jadual padat Jelajah PGA.

“Anda tidak boleh untuk menyertai semua kejohanan, jika melihat kepada jadual baru yang dikeluarkan.

“Dustin dan pemain lain memang sudah belajar apa yang berlaku kepada mereka tahun lalu, jadi saya menasihatkannya supaya tidak menyertai semua acara dan fokus kepada kejohanan penting untuk diri sendiri,” kata Winkle kepada ESPN.

Winkle mengakui Johnson lebih berminat untuk menyertai playoff Piala FedEx, yang akan bermula 11 hari selepas acara golf di Olimpik berakhir.

“Dustin membuat keputusan mengenai penyertaannya di Olimpik selepas kami membincangkan mengenai kelebihan dan keburukan jika mengambil bahagian dalam tempoh berkenaan.

“Akhir sekali ia lebih terarah kepada kepentingan peribadi, walaupun dia mahu menjadi Olimpian. Saingan playoff Piala FedEx juga sangat penting untuknya,” kata Winkle.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 11:19 AM