MATT Davies ketika sesi latihan. FOTO Ihsan JDT
MATT Davies ketika sesi latihan. FOTO Ihsan JDT
Rizar Mohd Noor


PEMAIN bek kiri Johor Darul Ta'zim (JDT), Corbin Ong menganggap kehadiran Matthew Davies yang menyertai skuad itu nyata mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan bagi mengharungi kempen Liga Super musim ini.

Pemain kebangsaan itu turut menyifatkan bekas kapten Pahang itu memiliki corak permainan taktikal yang menarik dan bijak untuk membaca gerakan pemain serangan lawan dan ia terbukti apabila dia sendiri sukar melepaskan diri ketika berdepan Davies yang sebelum ini mewakili Pahang.

Tambahnya, aksi menentang Kedah dalam pertembungan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini sememangnya dinanti tatkala setiap pemain tampak mengikuti latihan rapi bagi persiapan aksi pembukan tirai Liga Super, Jumaat ini.

“Kita tahu ketika Matt (Davies) beraksi untuk Pahang agak sukar untuk melepasi pemain itu yang beraksi konsisten di posisi bek kanan dan saya sendiri pernah mengalami detik kesukaran itu. Kini dia bersama JDT dan saya lihat kesungguhannya menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT.

“S Kunanlan juga memiliki `aura' tersendiri dan JDT amat beruntung untuk memiliki dia dan Davies tatkala kita tahu kecederaan yang dialami Azrif Nasrulhaq (Badrul Hisham) memakan masa yang panjang untuk pulih sepenuhnya.

“Pengalaman saya beraksi bersamanya ketika menyertai skuad kebangsaan beri impak positif dan kami memahami antara satu sama lain corak permainan masing-masing. Ia memudahkan lagi apabila kami turun beraksi dalam skuad JDT,” katanya.

Menyentuh mengenai pertembungan menentang skuad Lang Merah pada aksi Jumaat ini, Corbin tampak kurang berminat untuk berbicara mengenai kekuatan skuad bimbingan Aidil Shahril Sahak sebaliknya mahu memberi tumpuan terhadap persiapan JDT.

Katanya, tumpuan lebih terarah untuk menguatkan aspek mental dan fizikal selain membentuk corak permainan taktikal lebih ampuh kerana keutamaan adalah memburu kemenangan apabila beraksi di laman baharu skuad Harimau Selatan.

“Kami tidak mahu memikirkan pasukan Kedah kerana kami memberi sepenuh tumpuan membuat persiapan aspek permainan yang ampuh dan cara bagaimana untuk memenangi perlawanan dan itu yang kami mahu pamerkan nanti.

“Kita tahu pencapaian JDT sepanjang beraksi di Stadium Larkin membanggakan dan kini di stadium baharu kami mahu teruskan momentum itu dan mungkin lebih baik lagi. Saya berhadap sokongan padu penyokong akan menyemarakkan lagi semangat kami apabila beraksi di stadium baharu,” kata Corbin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 12:29 PM