LAURA (kiri) bersama Jason ketika memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016. FOTO Reuters
LAURA (kiri) bersama Jason ketika memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016. FOTO Reuters
Reuters

SENSASI berbasikal trek Britain, Laura Kenny tidak pernah memadamkan impian untuk memburu tiga pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo di sebalik berdepan kecederaan patah bahu yang menjejaskannya musim ini.

Laura yang memenangi emas acara kejar mengejar berpasukan dan omnium di dua edisi Sukan Olimpik sebelum ini, mengalami patah bahu ketika beraksi di Piala Dunia di Kanada, bulan lalu.

Atlet berusia 27 tahun itu enggan menjalani pembedahan, sebaliknya akan beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin minggu ini.

Meskipun sedang melalui proses pemulihan ketika ini, Laura percaya mampu berada pada tahap terbaik di Tokyo selepas dilabel atlet berbasikal trek wanita paling berjaya di Olimpik.

“Saya sudah mengharungi tempoh tiga minggu yang paling mencabar dalam karier saya ketika ini,” katanya yang melangsungkan perkahwinan bersama pemenang enam emas Sukan Olimpik, Jason Kenny selepas edisi di Rio dan melahirkan anak lelaki, Albie pada 2017.

“Yang pasti saya masih kekal dengan sasaran tiga pingat di Tokyo. Saya percaya saya akan pulih sepenuhnya.

“Saya akan menjalani ujian imbasan selepas kejohanan ini tetapi saya dimaklumkan ia memerlukan tempoh lapan minggu untuk pulih.

“Ramai pihak temasuk doktor menyatakan saya membuat keputusan gila beraksi di kejohanan ini. Sememangnya akan ada risiko dan ia akan lebih buruk jika saya terjatuh.

“Tetapi ia adalah risiko yang saya sedia hadapi. Saya yakin segala-galanya akan berjalan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 12:38 PM