RONALDO menghabiskan masa di bangku simpanan ketika aksi persahabatan di Korea Selatan.  FOTO Agensi
RONALDO menghabiskan masa di bangku simpanan ketika aksi persahabatan di Korea Selatan. FOTO Agensi
Agensi

MAHKAMAH Korea Selatan mengarahkan penganjur membayar ganti rugi kepada dua peminat bola sepak selepas Cristiano Ronaldo tidak tampil dalam aksi persahabatan bersama Juventus seperti yang dipromosi dalam iklan.

Peminat diwarwarkan penyerang Portugal itu akan beraksi selama 45 minit menentang skuad K-League All Star pada Julai lalu tetapi tidak menjadi kenyataan.

Penganjur, The Fasta diarahkan membayar 371,000 won (£240 bersamaan RM1200) kepada dua peminat semalam.

Ganti rugi itu termasuk 300,000 won (£194) untuk penderaan mental, menurut peguam, Kim Min-ki.

GELAGAT peminat Korea bersama patung Ronaldo. FOTO Agensi
GELAGAT peminat Korea bersama patung Ronaldo. FOTO Agensi

Kim yang memfailkan saman berkata, “The Fasta mengelirukan peminat Cristiano Ronaldo dan menggunakan mereka untuk kepentingan sendiri.

"Kepada penyokong Ronaldo, ia seperti mereka kehilangan pemain yang menjadi idola dalam kehidupan.”

Kim turut memberitahu wartawan dia mewakili 87 plaintif lain dalam kes lain membabitkan perlawanan itu yang berakhir seri 3-3.

Sejumlah 65,000 tiket perlawanan laris dalam tempoh tiga minit dengan Ronaldo yang berusia 34 tahun menjadi tarikan utama dalam promosi perlawanan.

Penyokong mula ‘mengamuk’ apabila Ronaldo tidak menunjukkan sebarang petanda masuk sebagai pemain gantian dan menjerit nama pesaingnya, Lionel Messi sebagai melepaskan geram.

Badan bola sepak profesional Korea Selatan, K League turut menghantar notis bantahan kepada Juventus kerana memungkiri kontrak dan The Fasta juga gagal dihubungi untuk maklum balas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 1:18 PM