IZZAH (kiri) dan Koi Sie Yan menunjukkan pingat yang dimenangi pada Sukan SEA Manila 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial. - FOTO Bernama
IZZAH (kiri) dan Koi Sie Yan menunjukkan pingat yang dimenangi pada Sukan SEA Manila 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial. - FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan mempertahankan pingat emas yang dimenangi oleh gimnas negara, Izzah Amzan biar apapun tindakan yang akan diambil Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

Terdahulu PHISGOC membuat kejutan apabila menarik balik pingat atlet berusia 20 tahun itu menerusi kenyataan di laman sesawang Sukan SEA 2019 selepas hampir dua bulan saingan berakhir.

Ia menimbulkan rasa tidak senang Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dengan tindakan yang dilakukan oleh PHISGOC itu.

Katanya, adalah tidak adil buat atlet dengan apa yang berlaku dan MOM mahu pihak PHISGOC mengekalkan keputusan seperti yang mereka maklumkan dua bulan lalu.

“Surat sudah dihantar kepada mereka dua hari lalu untuk meminta penjelasan berhubung hal ini. Kita mahu mereka mengekalkan keputusan mereka yang memberikan emas kepada gimnas negara dan kita mahu mereka berpegang pada keputusan itu.

“Sekarang ini kita tunggu maklum balas daripada mereka untuk menjelaskan perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, Sukan SEA 2019 mengalami beberapa kemelut yang memberi kesan kepada kontinjen negara namun yang paling menyerlah adalah isu pingat emas Izzah menerusi acara reben.

Pada temasya ke-30 itu Izzah dinobatkan sebagai pemenang bersama di samping Koi Sie Yan menerusi acara reben namun laman sesawang rasmi Sukan SEA Filipina 2019 mendedahkan ia sah ditarik balik tiga hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:21 PM