AKSI Chicharito menjaringkan gol ketika menentang Getafe musim lalu. FOTO AFP
AKSI Chicharito menjaringkan gol ketika menentang Getafe musim lalu. FOTO AFP
Reuters

KELAB Major League Soccer (MLS), Los Angeles Galaxy bakal menandatangani penjaring prolifik Mexico, Javier 'Chicharito' Hernandez dari kelab Sepanyol, Sevilla, menurut Los Angeles Times, awal pagi tadi.

Laporan itu yang memetik sumber dalaman tidak memberikan butir lanjut perjanjian tetapi difahamkan Galaxy akan menjadikan penjaring terbanyak Mexico itu pemain mendapat bayaran paling mahal di MLS.

Galaxy dijangka mengumumkan majlis menandatangani Hernandez minggu depan, menurut akhbar itu.

Juara lima kali Piala MLS, Galaxy bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya wartawan.

"Dia mesin penjaring gol. Dia sentiasa memburu jaringan selain mempertahankan pasukan dengan berkesan,” kata seorang lagi penyerang Mexico, Carlos Vela yang turut dikatakan bakal berpindah ke kelab itu dari Los Angeles FC.

"Saya sukakan persaingan," katanya. "Penyokong Mexico sudah pasti gembira.”

Hernandez yang beraksi pada tiga Piala Dunia menjaringkan 52 gol dalam 105 penampilan antarabangsa bersama Mexico menyertai Sevilla dari West Ham United pada September lalu.

Tetapi dia yang berusia 31 tahun hanya beraksi dua perlawanan sejak 2 November lalu dan menurut Los Angeles Times ia menjadi faktor utama Chicharito berpindah ke MLS.

Galaxy sudah pasti mengharapkan Hernandez meneruskan ketajaman sentuhan penyudah penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang berpindah ke kelab Serie A, AC Milan bulan lalu. Dia menjaringkan 53 gol dalam dua musim bersama pasukan berpangkalan di Los Angeles itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 10:53 AM