PEARLY (kanan) berganding baik dengan Wei Chong untuk mara ke pusingan kedua. — FOTO Eizairi Shamsudin
PEARLY (kanan) berganding baik dengan Wei Chong untuk mara ke pusingan kedua. — FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi


DUA perlawanan sehari dan tidak berlatih bersama bukan penghalang buat Pearly Tan untuk mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan pertama beregu campuran dan wanita Masters Malaysia.

Lebih luar biasa Pearly yang bergandingan dengan Man Wei Chong membuat kejutan apabila menumpaskan pilihan kelima beregu campuran dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

“Saya pun tak sangka dapat memenangi perlawanan ini dan mungkin kerana saya bersama rakan segandingan sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain,” katanya selepas menang 21-18, 21-13 di Arena Axiata, hari ini.

Ujar pemain kelahiran Kedah itu, dia memang pernah melihat perlawanan Praveen-Melati sebelum ini namun tidak rasa boleh mencatat kemenangan.

DAREN kecundang di tangan Jonathan. — FOTO Eizairi Shamsudin
DAREN kecundang di tangan Jonathan. — FOTO Eizairi Shamsudin

Pearly sebelum itu bergandingan dengan M Thinaah pada pusingan pertama beregu wanita dan berjaya mengalahkan rakan senegara, Anna Cheong-Lim Chiew Sien 21-15, 21-10.

Turut mara ke pusingan kedua ialah beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mengalahkan rakan senegara, Low Hang Yee-Lim Chiew Sien 21-7, 21-11.

Beregu wanita negara Teoh Mei Xing-Yap Ling pula tersingkir selepas kalah 19-21, 4-21 kepada gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Sementara itu, impian Liew Daren meneruskan kemaraan dalam acara perseorangan lelaki musnah apabila dia tunduk di tangan pilihan keenam Jonatan Christie dari Indonesia 10-21, 21-16, 15-21 pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 5:56 PM