KLOPP memeluk  Firmino  selepas pemain Brazil itu menembusi gawang Leicester di Stadium King Power. FOTO  AFP
KLOPP memeluk Firmino selepas pemain Brazil itu menembusi gawang Leicester di Stadium King Power. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan tidak pernah hilang kepercayaan ke atas Roberto Firmino selepas pemain Brazil itu yang kekurangan jaringan meledak empat gol dalam tiga perlawanan termasuk pada final Piala Dunia Kelab.

Firmino bertemu Klopp sebelum ini melahirkan kebimbangannya selepas hanya menjaringkan satu gol dalam 16 penampilan tetapi pengendali Jerman itu memberitahu Firmino dia sudah berada di kelab itu lebih lama berbanding jumlah jaringannya.

Firmino meledak jaringan pada separuh akhir dan final Piala Dunia Kelab dan dua lagi gol pada pada Boxing Day ketika membelasah pencabar terdekat, Leicester City.

Jaringan Firmino ketika menentang Foxes diraikan dengan berpelukan bersama Klopp di tepi garisan Stadium King Power.

"Wartawan beritahu saya dia sudah lama tak jaringkan gol tetapi bercakap mengenai Bobby saya tak fikir mengenai jaringan,” kata Klopp.

"Saya fikirkan betapa dia penting kepada pasukan, jadi kami ada berbincang dan saya beritahu dia. Pada awalnya dia agak risau dan saya beritahu tak berminat dengan angka itu.

"Dia penghubung dalam pasukan kami dan sangat penting kepada kami. Dia satu-satunya pemain yang boleh memainkan itu dengan cara tersendiri.”

Liverpool yang mengimpikan trofi Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun kini berkelebihan 13 mata di puncak liga dan tidak tewas dalam 35 perlawanan sejak tewas 1-2 kepada Manchester City pada 3 Januari lalu.

Liverpool yang akan menentang Wolves di Anfield pada Ahad ini makin menghampiri rekod milik Arsenal yang tidak tewas dalam 49 perlawanan yang dilakukan antara Mei 2003 sehingga Oktober 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 8:20 AM