AARON (kiri) dan Wooi Yik ketika beraksi di Manila kelmarin. — FOTO Osman Adnan
AARON (kiri) dan Wooi Yik ketika beraksi di Manila kelmarin. — FOTO Osman Adnan
BERNAMA

BEREGU lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula ‘langkah kiri’ apabila tewas pada perlawanan sulung Kumpulan B, Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Guangzhou, China, hari ini.

Pasangan emas Sukan Sea ke-30 di Filipina itu terpaksa akur dengan kelebihan gandingan Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dari Indonesia dan tumpas 19-21, 16-21.

Namun, Aaron menafikan kekalahan itu disebabkan mereka masih dibelenggu keletihan.

“Perlawanan hari ini saya rasa tidaklah terlalu teruk kerana kami masih lakukan apa yang kami rancang. Hanya mata daripada set pertama dan kedua agak jauh ketinggalan baru kejar balik.

“Bila kejar balik, sudah agak lambat dan ditambah pula dengan banyak buat kesilapan,” katanya.

Selain gandingan Indonesia, pasangan kesembilan dunia itu diundi dalam Kumpulan B bersama dua beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin dan Lu Ching Yao-Yang Po Han.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga bermula hambar apabila tunduk di tangan pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 11-21, 14-21 pada aksi pertama Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 11:53 PM