Agensi

PEP Guardiola tersasul apabila menyebut Bayern Munich untuk merujuk kepada kelab dibimbingnya sekarang iaitu Manchester City.

Pengendali dari Sepanyol itu ‘tersasul’ dalam sidang media selepas skuadnya menewaskan Burnley 4-1 di Turf Moor, kelmarin.

Guardiola sebelum ini menguruskan Bayern, kelab Jerman selama tiga musim bermula 2013 sebelum berhijrah mengendalikan Manchester City pada musim panas 2016.

Situasi itu berlaku ketika Guardiola memuji impak dipamerkan oleh pemain perpindahan musim panas Rodri selepas jaringannya menjadikan kedudukan 3-0 dan ketika itu dia tersilap cakap.

Dia berkata: "Saya rasa dia menyesuaikan diri dan benar-benar sesuai dengan liga ini (Liga Perdana Inggeris (EPL), jujur saya katakan.

"Dan saya rasa Bayern Munich...Man City membeli...Bayern Munich, eh apa benda ni? Man City! Saya tidak tahu apa saya fikirkan!" katanya sambil menepuk dahi.

Masalah prestasi yang merudum dialami oleh City sejak kebelakangan ini mungkin menyebabkan bos dari Sepanyol itu banyak hendak difikirkan hingga tersilap cakap.

Juara bertahan EPL itu kini ketinggalan 11 mata di belakang Liverpool selepas tewas di Anfield dan mencicirkan mata sewaktu seri 2-2 bertemu Newcastle.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 2:15 PM
Guardiola tersilap cakap merujuk City sebagai Bayern. FOTO Youtube
Guardiola tersilap cakap merujuk City sebagai Bayern. FOTO Youtube