JUNE Wei muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia.
JUNE Wei muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia.
Ferzalfie Fauzi


JANGAN hanya satu kejuaraan, itulah pesanan bekas perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock kepada Cheam June Wei yang merangkul kejuaraan Cabaran Antarabangsa (IC) Malaysia semalam.

Menurutnya, pemain muda seperti June Wei perlu lebih lagi melipatkan ganda usaha walaupun sudah meraih satu trofi tahun ini.

"Saya tidak pasti perubahan yang bakal dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas ini. Kalau mereka menyingkirkan ramai pemain, siapa lagi yang harus mereka harapkan selepas ini," katanya kepada Arena Metro hari ini.

Prestasi June Wei musim ini sedikit tenggelam apabila hanya muncul naib juara di Siri Antarabangsa Malaysia dan lebih banyak terkandas di pusingan awal.

Ia menimbulkan tanda tanya sama ada June Wei akan berada dalam senarai penyingkiran besar-besaran yang bakal dilakukan BAM Disember ini.

"Saya harap dia (June Wei) meneruskan lagi aksi terbaik dan biarlah orang menilainya mempunyai 'standard'. Sekurang-kurangnya selepas ini dia mampu mara sehingga ke separuh akhir. Kita tidak mahu pemain yang muncul juara selepas itu sering terkandas di pusingan pertama," kata Ewe Hock.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu merangkul kejuaraan sulung tahun ini di Dewan 2020, Kangar selepas menumpaskan wakil China, Ren Peng Bo 21-16, 19-21, 21-18.

June Wei akan terus menyambung aksi di Masters Korea esok apabila bakal berdepan wakil Kanada, BR Sankeerth di pusingan kelayakan.

Turut beraksi di kejohanan berkenaan ialah Liew Daren yang berdepan Kanta Tsuneyama (Jepun) manakala Lee Zii Jia pula menentang Kenta Nishimoto (Jepun) di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:29 PM