June Wei ketika beraksi di Cabaran Antarabangsa Celcom Axiata Malaysia. FOTO File NSTP
June Wei ketika beraksi di Cabaran Antarabangsa Celcom Axiata Malaysia. FOTO File NSTP
BERNAMA

PEMAIN perseorangan negara, Cheam June Wei membuat kejutan apabila menewaskan pemain China, Zhou Ze Qi untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 di Kangar, hari ini.

June Wei menundukkan pilihan kedua kejohanan 21-15, 16-21, 21-16 pada aksi suku akhir.

Ketua jurulatih lelaki negara Datuk Misbun Sidek ketika ditemui memuji aksi ditunjukkan anak buahnya itu yang tidak gugup meskipun tewas pada set kedua.

“Dia bijak mengatur langkah pada set ketiga dengan menyerap serangan pihak lawan,” katanya.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang gagal menempah tiket ke separuh akhir.

Pilihan utama kejohanan itu tunduk kepada pasangan Jepun, Hiromi Midorikawa-Natsu Saito, 19-21, 12-21.

Pang Ron ketika ditemui menzahirkan kekecewaan dengan kekalahan itu kerana meletakkan harapan untuk memenangi kejohanan berkenaan.

"Pasangan yang kami lawan hari ini pernah kami bertemu sebelum ini. Pernah menang dan pernah juga kalah,” katanya sambil menambah dia dan Yee See akan menguatkan semangat dan berusaha lebih keras untuk mengharumkan nama negara pada masa depan.

Pasangan itu akan menyertai kejohanan antarabangsa di Mumbai, India minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 10:02 PM