Ronaldo kirim but kepada pasukan Wanita B-17 Portugal. FOTO REUTERS
Ronaldo kirim but kepada pasukan Wanita B-17 Portugal. FOTO REUTERS
Agensi

SUPERSTAR Cristiano Ronaldo bermurah hati menghadiahkan but kepada keseluruhan pasukan bola sepak Wanita Bawah 17 (B-17) Portugal sambil mengirimkan kata-kata semangat berharap mereka mencapai impian.

Pemain berusia 34 tahun itu menghadiahkan but kepada pasukan terbabit selepas mereka menewaskan Latvia 4-0 untuk layak ke pusingan elit kelayakan Euro 2020.

Ronaldo yang sudah pun bergelar wira Portugal dan menjadi tonggak utama meraih gelaran utama sulung mereka ketika skuad Fernando Santos menjulang gelaran Euro 2016, tiga tahun lalu.

Malah, Ronaldo juga turut menjuarai Piala Negara Eropah UEFA bersama Portugal.

Skuad wanita Portugal masih belum memenangi kejuaraan utama tetapi Ronaldo cuba untuk mencetuskan inspirasi terhadap generasi masa depan untuk mengimpikan kejayaan besar.

Dalam surat ditulis kepada pasukan Wanita B-17: "Saya mengirimkan but Nike Mercurial Dream Speed dengan harapan ia akan membantu anda mencapai impian.

"Sewaktu zaman kanak-kanak, saya ada cita-cita mudah tetapi impian saya gila.

“Tidak, ia bukan jenis impian yang datang ketika anda tidur. Ini adalah salah satu impian yang anda begitu mahukannya yang membuatkan anda terjaga pada waktu malam.

"Saya mahu menjadi pemain bola sepak terbaik di dunia. Saya mendedikasi hidup saya berada di gimnasium, di padang latihan dan melakukan sesuatu yang diperlukan untuk membuatkannya menjadi kenyataan.

“Ia amat penting memiliki impian. Ia lebih penting daripada bekerja keras untuk mencapainya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 7:32 PM