RANIERI galas tugas getir lonjak Sampdoria. - FOTO Agensi
RANIERI galas tugas getir lonjak Sampdoria. - FOTO Agensi
Agensi

BEKAS pengurus Chelsea dan Leicester City, Claudio Ranieri dilantik pengurus baharu kelab Itali, Sampdoria, awal pagi tadi.

Ranieri menggantikan Eusebio di Francesco yang dipecat Isnin lalu selepas kelab itu tewas enam daripada tujuh perlawanan dan menghuni tangga tercorot Serie A.

Pengendali berusia 67 tahun itu turut menggantikan Di Francesco di Roma pada Mac lau dengan kontrak sehingga penghujung musim.

Pelantikan itu yang ke-20 sebagai pengurus dalam kariernya dan kesembilan dalam saingan liga elit di Itali.

Ranieri dipecat Leicester selepas sembilan bulan mencipta kejutan dengan menjuarai Liga Perdana 2016. Dia menghabiskan musim 2017-18 bersama Nantes di Ligue 1 sebelum kembali ke England dengan mengendalikan Fulham pada November 2018.

Bagaimanapun, dia dipecat Cottagers selepas hanya 106 hari mengendalikan pasukan itu dan kemudiannya mengendalikan Roma, kelab di mana dia memulakan karier sebagai pemain.

Ranieri membawa kelab itu menduduki tangga keenam Serie A musim lalu dengan tiga mata di belakang slot terakhir Liga Juara Juara.

Tugas pertama Ranieri bersama juara Serie A 1991 itu ialah menentang Roma di tempat sendiri pada 20 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 12:27 PM