AKSI Djokovic menerima servis Goffin di Tokyo. - FOTO AFP
AKSI Djokovic menerima servis Goffin di Tokyo. - FOTO AFP
AFP

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic mara ke final Terbuka Jepun selepas mudah menewaskan David Goffin 6-3, 6-4, hari ini.

Pada aksi final esok, dia bakal menentang pemain kelayakan dari Australia, John Millman yang menewaskan Reilly Opelka dari Amerika Syarikat 6-3, 7-6 (7/4).

Bintang Serbia itu mendominasi perlawanan dengan menang tiga ‘game’ pertama selepas melakukan ‘break’ awal dan menangkis asakan pemain Belgium yang cuba bangkit menyekat pilihan utama itu.

Djokovic sekali lagi mendapat ‘break’ awal pada set kedua dan memanfaatkan semua empat mata ‘break’ sepanjang perlawanan.

Dia meraih mata daripada 87 peratus servis pertama dan tidak melakukan kesalahan berganda dalam perlawanan berlanjutan 90 minit itu.

Goffin pula tidak mudah menyerah kalah tetapi Djokovic bijak menyerap tekanan dengan pukulan jauh ke belakang dan menggunakan kepantasan pergerakan kaki.

"Minggu ini minggu yang indah buat saya di dalam gelanggang atau di luar gelanggang dan saya berharap dapat menjulang trofi esok.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:52 PM