CONTE terap taktikal asas ketika berdepan cabaran Barcelona. - FOTO Agensi
CONTE terap taktikal asas ketika berdepan cabaran Barcelona. - FOTO Agensi
AFP

ANTONIO Conte memacu kecemerlangan Inter Milan menerusi pendekatan asas bola sepak dan kunjungan ke Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini bakal menguji kemampuan sebenar mereka di peringkat Eropah.

Skuad Conte menang semua enam perlawanan awal Serie A, kali pertama dalam tempoh 53 tahun dengan terbaharu menewaskan Sampdoria 3-1 pada Ahad lalu walaupun beraksi kurang satu pemain pada babak kedua.

Mereka kini dua mata mengatasi pencabar utama, Juventus di puncak liga dan kedua-duanya bakal membuat perhitungan di San Siro pada Ahad ini.

Bagaimanapun, Inter berdepan tugas getir untuk meraih tiga mata di Camp Nou selepas hanya seri 1-1 menentang Slavia Prague dalam aksi pembukaan.

Conte yang dilaporkan menerima gaji paling tinggi di Itali dengan 10 juta euro percaya kecemerlangan pasukannya kerana dia memudahkan permainan.

"Saya jurulatih yang selalu memberi idea bola sepak yang mudah kepada pasukan terutamanya dari segi taktik,” kata bekas pengendali Chelsea dan Juventus.

Helenio Herrera jurulatih terakhir Inter yang meraih enam kemenangan berturut-turut sejak permulaan musim pada 1966-1967. Juara tiga kali Serie A itu juga menjuarai Piala Eropah 1964 dan 1965.

Conte mahu membawa kelab menjuarai gelaran liga pertama sejak 2010, musim yang menyaksikan mereka muncul juara treble ketika di bawah kendalian Jose Mourinho.

"Kami perlu fokus menentang Barcelona di Camp Nou,” kata Conte yang kali terakhir berkunjung ke Barcelona ketika mengendalikan Chelsea tetapi tewas 0-3 pada Mac 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 10:15 AM