ANTONIO Conte meraikan kemenangan Inter Milan menentang Lazio awal pagi tadi.
ANTONIO Conte meraikan kemenangan Inter Milan menentang Lazio awal pagi tadi.
AFP

INTER Milan mencatat lima kemenangan daripada lima perlawanan dengan kemenangan 1-0 ke atas Lazio awal pagi tadi ketika anak buah Antonio Conte kembali merampas takhta Serie A.

Bagaimanapun mereka memerlukan kudrat penjaga gol Samir Handanovic yang tampil dalam aksi ke-300 buat Inter untuk menyelamatkan siri percubaan lawan untuk memastikan pasukannya kembali mendapat kelebihan dua mata berbanding juara bertahan Juventus.

Satu-satunya gol dalam perlawanan di San Siro hadir pada minit ke-23 apabila pertahanan Itali Danilo D'Ambrosio melakukan tandukan dari jarak dekat hasil hantaran Cristiano Biraghi.

Di depan gawang Inter, Handanovic memastikan rekod pertahanan kelab itu kekal utuh musim ini yang menyaksikan mereka hanya bolos sekali, ketika dia menyelamatkan percubaan Caicedo dan Bastos sebelum menafikan percubaan Tucu Correa dengan menepisnya menggunakan sebelah tangan.

Pemain baharu Inter Romelu Lukaku gagal menambah tiga jaringan yang dilakukannya dalam empat aksi Serie A selepas tidak diberi peluang menentang adiknya Jordan yang diketepikan akibat kecederaan lutut.

Lazio sementara itu melangkah ke perlawanan itu dengan Ciro Immobile diketepikan selepas bertelagah dengan jurulatih Simone Inzaghi ketika menang 2-0 ke atas Parma minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 10:06 AM