FERRIS Danial (kiri) melepasi kawalan penjaga gol TFC dalam laluan meledak gol pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam ini. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
FERRIS Danial (kiri) melepasi kawalan penjaga gol TFC dalam laluan meledak gol pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam ini. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil


NEGERI Sembilan menghidupkan sisa peluang untuk bersaing dalam Kumpulan A Piala Malaysia apabila menewaskan pendahulu Terengganu FC (TFC) 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk mencetak gol pertama apabila sepakan kencang Ferris Danial Nasir dari jarak kira-kira 25 meter pada minit kedua menewaskan penjaga gol pelawat Wan Azraie Wan Teh.

Tiga minit kemudian, giliran penyerang import, Almir Neto menjaringkan gol kedua Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti selepas Aiman Khalidi dikasari pertahanan lawan dalam kotak penalti.

Tersentak dengan dua gol pantas itu, TFC kembali menyusun gerak dengan beberapa kali menguji pertahanan skuad Hobin Jang Hobin terutama menerusi ayam tambatan mereka, Kipre Tchetche dan Khairul Izuan Rosli.

ALMIR (kiri) meraikan gol kedua Negeri Sembilan seawal minit kelima di Paroi. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
ALMIR (kiri) meraikan gol kedua Negeri Sembilan seawal minit kelima di Paroi. — FOTO Iqmal Haqim Rosman

Hasrat skuad Penyu merapatkan jurang berhasil apabila meraih gol pertama pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti selepas Khairul Izuan dijatuhkan pertahanan tuan rumah.

Kapten TFC, Lee Tuck yang mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah apabila bola menggegar jaring menewaskan Hamka Daud.

Bagaimanapun, pelawat terus ketinggalan apabila kesilapan Wan Azraie gagal menangkap kemas sepakan Almir disambar Igor Luiz untuk meledak gol ketiga Negeri Sembilan pada minit ke-65.

Sekalipun Serhi Andrieiv menjaringkan gol kedua TFC pada minit ke-90, ia sudah terlambat buat pelawat untuk mengelak kekalahan pertama selepas empat perlawanan.

Ia juga kemenangan sulung Negeri Sembilan dalam kempen Piala Malaysia kali ini selepas tewas semua tiga aksi terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:43 PM