DHAARMA gesa pemainnya timba pengalaman di luar negara.
DHAARMA gesa pemainnya timba pengalaman di luar negara.
Saiful Affendy Sapran

“TIADA cara lain tingkatkan prestasi selain beraksi di luar negara.” Demikian nasihat pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kepada anak buahnya sekali gus mendorong 12 daripada 20 pemainnya secara terbuka menerima tawaran untuk beraksi dengan kelab Eropah.

Mengakui pada awalnya sukar untuk mengubah mentaliti pemain, Dhaarma berkata, semua mereka kini menerima nasihat dengan hati terbuka.

“Saya tak pernah paksa atau beri tekanan kepada mereka, lagi-lagi mereka perempuan. Mesej saya sampaikan ialah mereka perlu berani untuk keluar dan beraksi dengan kelab Eropah. Mereka perlu melakukan pengorbanan dengan beraksi bersama pasukan berkelas dunia.

“Jika mereka sekadar berlatih di sini, tahap peningkatan mereka akan terbantut,” katanya.

Dhaarma berkata, pemain yang menerima tawaran beraksi di Eropah hanya mempunyai satu tekad iaitu menimba pengalaman.

“Mereka bukannya menerima tawaran tinggi. Kelab hanya memberikan sejumlah elaun dan membiayai tiket penerbangan serta tempat tinggal. Pendek kata, mereka ke Eropah bukan kerana tawaran lumayan,” katanya.

Dhaarma juga mendedahkan, semua 20 pemainnya mendapat tawaran beraksi di Eropah, namun lapan daripadanya tidak dapat memberikan komitmen.

“Ada yang perlu memenuhi tuntutan kerja sebagai kakitangan kerajaan selain menyudahkan semester pengajian. Justeru, mereka tidak boleh melakukan penangguhan lagi,” katanya.

Enam pemain negara akan menyertai kelab di Jerman, pertengahan bulan ini. Mereka ialah Hanis Nadiah Onn, Wan Norfaiezah Saiuti dan Raja Norsharina Raja Shabuddin yang beraksi bersama pasukan Bundesliga, Wespen Zehlendorfer manakala Maizatulhanim Syafi, Nuramirah Syakirah Zulkifli, Juliani Mohd Din bersama Bremer HC.

Penjaga gol utama negara, Farah Ayuni Yahya serta Nuraini Rashid pula beraksi bersama kelab Liga Utama England, East Grinstead bermula September depan.

Begitu juga dengan Norazlin Sumantri dan Mas Huzaimah Md Aziz (HR Argentin) Fatin Shafika Mahd Sukri (Butterfly Roma) yang akan beraksi di Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 7:08 PM