LEDECKY menarik diri daripada final acara 1,500m gaya bebas dan saringan 200m atas sebab masalah perubatan. FOTO AFP
LEDECKY menarik diri daripada final acara 1,500m gaya bebas dan saringan 200m atas sebab masalah perubatan. FOTO AFP
AFP

JUARA renang Olimpik Katie Ledecky menarik diri daripada final acara 1,500m gaya bebas dan saringan 200m atas sebab masalah perubatan, menurut pasukan Amerika Syarikat.

Perenang berusia 22 tahun itu yang menjulang 14 gelaran dunia, tewas acara 400m kepada perenang remaja dari Australia Ariarne Titmus pada hujung minggu ketika hari pertama kejohanan renang di Gwangju, Korea Selatan.

Katie memilih untuk tidak bertanding dalam saringan 200m pagi ini dan selepas menilai keadaannya, memutuskan untuk tidak menyertai final 1,500m pada hari sama, acara yang menyaksikan dominasi perenang berkenaan dalam tiga edisi kejohanan dunia.

Pegawai sukan AS memberitahu bagaimanapun Katie tidak menarik diri daripada baki kejohanan itu iaitu saringan 800m yang dijadualkan pada pagi Jumaat.

Namun mereka mengesahkan bahawa juara dunia 14 kali itu mengadu kurang sihat sejak tiba di Korea Selatan.

“Katie tidak berasa sihat sejak tiba di Gwangju pada 17 Julai dan tindakan pencegahan diambil bagi memastikan kesihatannya pulih sepenuhnya untuk membolehkannya memberi fokus tenaganya terhadap jadual berikutnya,” kata Pengarah Urusan Pasukan AS Mintenko.

Perenang Kanada Taylor Ruck, juara Komanwel dan Pan Pacific dan perenang Australia Emma McKeon, yang meraih perak pada kejohanan dunia 2017 juga menarik diri daripada acara 200m untuk menangani jadual padatnya minggu ini.

Ariarne yang mencatat masa ketiga terpantas dalam acara saringan 200m gaya bebas dengan perenang Sweden Sarah Sjostrom mendahului saingan, meluah kekecewaan apabila Katie menarik diri.

“Ya, sedikit (kecewa) kerana anda tahu tiga wanita menarik diri, mungkin tiga pencabar utama saya,” kata perenang Australia itu.

“Ia mungkin nampak lebih senang sekarang tetapi (juara dunia dari Itali, Federica) Pellegrini masih di sana jadi ia masih cabaran yang sukar.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 11:26 AM