SAKA (kanan) membuka tirai jaringan buat Gunners. — FOTO arsenal.com
SAKA (kanan) membuka tirai jaringan buat Gunners. — FOTO arsenal.com
AFP

PENYERANG Brazil, Gabriel Martinelli meledak gol dalam penampilan sulung bersama Arsenal ketika kelab Liga Perdana Inggeris itu memulakan jelajah pramusim di Amerika Syarikat dengan kemenangan 3-0 ke atas Colorado Rapids, pagi tadi.

Bukayo Saka dan James Olayinka turut menyumbat gol buat Gunners, yang melakar kemenangan mudah di Sporting Goods Park di pinggir Denver.

Martinelli, penyerang berusia 18 tahun yang diikat dari Ituano pada 2 Julai lalu, diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama oleh pengurus Unai Emery dan berjaya mencetus amaran awal kepada lawan.

Saka, 17, membantu Arsenal mendahului 1-0 pada minit ke-13 apabila dia menyempurnakan lorongan cantik Eddie Nketiah.

OLAYINKA (tengah) meledak gol kedua Arsenal di Denver. — FOTO arsenal.com
OLAYINKA (tengah) meledak gol kedua Arsenal di Denver. — FOTO arsenal.com

Seorang lagi pemain remaja – Olayinka yang berusia 18 tahun – menggandakan kedudukan pada minit ke-29, menyambut hantaran jauh dari pertahanan sebelum merembat masuk ke penjuru kiri gol Colorado.

Martinelli, yang terlepas peluang awal, melengkapkan jaringan pada minit ke-61 apabila dia menyempurnakan satu hantaran lintang dari jarak dekat.

Rapids, yang beraksi pada pertengahan musim Major League Soccer, menurunkan kebanyakan pemain simpanan dan menampilkan beberapa pemain dari pasukan bawahan Colorado Springs Switchbacks.

Arsenal turut bermula dengan pasukan simpanan ketika mereka memulakan persiapan musim Liga Perdana selepas sekali lagi gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:54 PM