PFA dikhabarkan terus  membisu tentang tunggakan gaji pemain.
PFA dikhabarkan terus membisu tentang tunggakan gaji pemain.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) akan menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam tempoh terdekat berhubung kegagalan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) melunaskan tunggakan gaji pemain skuad Singa Utara pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, perkara berkenaan dicapai hasil pertemuan PFAM bersama 15 pemain skuad Singa Utara, baru-baru ini selepas pengurusan PFA dikatakan membisu berhubung isu berkenaan.

“Tunggakan gaji berkenaan turut membabitkan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kita kecewa dengan kegagalan PFA dalam menjaga kebajikan pemain dan saya akan membawa perkara ini kepada FAM supaya tindakan tegas dapat diambil kerana ini membabitkan mata pencarian pemain,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini mengambil keputusan sebulat suara membatalkan penyertaan Perlis dalam saingan Liga Malaysia musim ini selepas mendapati pasukan itu tidak memiliki jaminan kukuh dari segi kewangan bagi terus bertahan musim ini.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan bahawa PFAM masih menunggu maklum balas PFA berhubung kegagalan mereka untuk melunaskan tunggakan gaji pemain Perlis yang beraksi pada musim 2018, walaupun FAM telah mengeluarkan surat rasmi kepada PFA untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Ditanya mengenai kes tunggakan gaji membabitkan pemain kelab Liga M3, Batu Dua FC, Izham menjelaskan pihaknya masih menunggu beberapa maklumat lengkap daripada pemain pasukan berkenaan sebelum membuat laporan rasmi kepada FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 8:00 AM