Mehmet yakin Perak masih ada peluang ke final Piala FA. FOTO NSTP
Mehmet yakin Perak masih ada peluang ke final Piala FA. FOTO NSTP
Asrol Awang


PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic percaya peluang skuad itu untuk menempah tiket ke final Piala FA musim ini masih lagi terbuka.

Durakovic berkata, kekalahan 1-3 pada aksi separuh akhir pertama kepada Pahang di Kuantan, malam tadi bukannya penamat kerana perlawanan ada 90 minit lagi buat The Bos Gaurus untuk bangkit di tempat sendiri.

"Oleh itu, saya mahu pemain kekal positif untuk kembali bangkit dan mempamerkan prestasi lebih baik apabila beraksi di Ipoh nanti.

"Biarpun tewas 1-3 di Kuantan, kami berjaya menjaringkan satu gol di tempat lawan untuk memberi peluang dalam baki 90 minit pada separuh akhir kedua.

"Saya harap pemain dapat meningkatkan lagi corak permainan seperti yang dipersembahkan pada babak kedua apabila menjaya menjaringkan satu gol," katanya.

Mengulas aksi keseluruhan pada perlawanan itu, Durakovic berkata, dua gol menerusi hantaran lintang dan satu gol pada minit terakhir menafikan aksi lebih baik dipersembahkan anak buahnya.

Katanya, skuad itu sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan keputusan positif tetapi ia gagal diterjemahkan seperti diharapkan.

"Saya tidak menyalahkan seorang pemain sebaliknya sebagai satu pasukan, apabila menang kami meraikan bersama manakala mereka saling bantu untuk memperbaiki kelemahan apabila tewas.

"Pemain sudah memberikan komitmen 100 peratus sepanjang perlawanan terutama pada babak kedua kerana turut berpeluang untuk menambah jaringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 8:45 PM