BERNHADT (kiri) bergambar bersama Shahrul Samsudin selepas selesai majlis menandatangani kontrak. FOTO ihsan KFA
BERNHADT (kiri) bergambar bersama Shahrul Samsudin selepas selesai majlis menandatangani kontrak. FOTO ihsan KFA
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) hari ini mengumumkan pemain Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt sebagai pemain import baharu skuad Lang Merah menjelang penutupan Jendela Perpidahan Pemain, 29 Mei ini.

Dengan selesainya urusan mengikat pemain import ini Kedah dilihat mengakhiri teka-teki pemain baharu yang mampu mengukuhkan kekuatan di bahagian tengah seperti yang diperlukan sejak kecederaan yang melanda pemain import kuota Asia iaitu Anmar Al Mubaraki sejak April lalu.

Kedah juga kini boleh terus memberi fokus meningkatkan keupayaan dengan memanfaatkan pengalaman yang ditimba Bernhardt yang menyertai skuad kebangsaan Kyrgyzstan sejak 2014.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan KFA petang tadi, Bernhardt, 33 dilihat bergambar bersama Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin selepas selesai menandatangani kontrak bersama skuad Lang Merah hari ini.

“Beliau bakal mengisi kuota import Asia menggantikan Anmar Al Mubaraki yang masih dalam pemulihan kecederaan.”

“Beliau yang beraksi dibahagian tengah akan memakai jersi bernombor 60 bagi baki musim 2019.

“Sebelum ini Edgar beraksi bersama pasukan GKS Tychy FC, Poland dan juga Ketua Pasukan Kebangsaan Kyrgyztan yang beraksi dalam Piala Asia 2019.”

KFA turut yakin dengan kehadiran Bernhardt, jentera tengah skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak dapat terus ditingkatkan dalam persediaan menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang Felda United dan seterusnya tujuh lagi perlawanan Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 11:55 PM