RICHARLISON (dua kiri) bertindak cemerlang bersama Everton musim ini. — FOTO Agensi
RICHARLISON (dua kiri) bertindak cemerlang bersama Everton musim ini. — FOTO Agensi
AFP

TUAN rumah Copa America, Brazil memulakan persiapan bagi kejohanan itu di pusat latihan mereka di Teresopolis awal pagi tadi di sebalik ketiadaan ramai pemain utama.

Hanya tujuh pemain hadir di kompleks bola sepak Granja Comary dekat Rio de Janeiro bagi minggu pertama latihan.

Neymar, pemain paling mahal di sunia, dijangka hadir pada 28 Mei ini di samping rakan sepasukan PSG, Dani Alves, Thiago Silva dan Marquinhos.

Pemain sayap Everton, Richarlison adalah pemain pertama yang hadir awal pagi tadi.

JURULATIH Brazil, Tite (kiri) memeriksa padang latihan di Granja Comary, Teresopolis. — FOTO EPA
JURULATIH Brazil, Tite (kiri) memeriksa padang latihan di Granja Comary, Teresopolis. — FOTO EPA

“Saya mahu ke padang seberapa segera untuk berlatih, saya amat gembira untuk berada di sini bersama skuad, ia satu saat unik,” kata Richarlison dalam satu kenyataan persekutuan bola sepak Brazil.

Richarlison disertai pemain Ajax Amsterdam, David Neres, seorang lagi penyerang berusia 22 tahun.

Fernandinho, Gabriel Jesus dan Casemiro tiba lewat hari ini manakala Ederson dan Filipe Luis dijangka hadir esok.

Alisson dan Roberto Firmino, yang beraksi pada final Liga Juara-Juara 1 Jun ini bersama Liverpool, adalah pemain terakhir yang akan menyertai latihan.

Pemenang lapan kali Brazil berdepan Bolivia, Venezuela dan Peru pada peringkat kumpulan, yang bermula 14 Jun depan, selepas dua aksi persahabatan menentang Qatar dan Honduras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:15 AM