MICHAEL Schumacher akan diabadikan dalam satu dokumentari oleh dua pengarah filem Jerman. FOTO Agensi
MICHAEL Schumacher akan diabadikan dalam satu dokumentari oleh dua pengarah filem Jerman. FOTO Agensi
AFP

KISAH hidup bekas juara dunia pemandu Formula Satu (F1) Michael Schumacher akan diabadikan dalam satu dokumentari oleh dua pengarah filem Jerman menerusi produksi mendapat sokongan penuh keluarganya, menurut laporan hari ini.

Dokumentari produksi syarikat berpangkalan di Hamburg, B/14 Film yang diarahkan Michael Wech dan Hanns-Bruno Kammertons, turut memuatkan beberapa sedutan arkib dan wawancara dengan keluarga dan pesaing yang tidak pernah tersiar sebelum ini, lapor majalah industri filem Variety.

Ia dijadualkan menemui penonton pada akhir tahun ini.

Jurucakap keluarga Schumacher, Sabine Kehm, memberitahu Variety pencapaian luar biasa karier juara dunia F1 tujuh kali itu ‘wajar diraikan’, menambah: “Kami gembira filem ini berada di tangan profesional yang bercita-cita tinggi dan sensitif.”

Sudah pun berada di peringkat pos produksi, dokumentari itu akan dijual ke festival filem Cannes bermula esok di mana pemerhati sukan tidak sabar menantikan satu lagi kisah epik seperti arahan Asif Kapadia, "Diego Maradona" mengenai pemain bola sepak legenda Argentina.

Schumacher yang berusia 50 tahun Januari lalu, mengalami pelbagai kecederaan kepala dalam kemalangan ketika aktiviti ski pada 2013 dan tidak pernah tampil di depan khalayak selepas itu.

Tahun ini, menandakan ulang tahun ke-25 sejak dia menjulang Kejuaraan Dunia pertamanya.

Bagaimanapun filem itu tidak akan sama sekali menyentuh mengenai tahap kesihatan juara Jerman itu, yang dirahsiakan sepenuhnya oleh keluarga sejak kemalangan yang mengejutkan dunia yang menyaksikan dia berada dalam keadaan koma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 11:15 AM