LEE Chong Wei.
LEE Chong Wei.
Ferzalfie Fauzi


KETIBAAN Ramadan bukan saja sangat dinantikan oleh umat Islam, malah turut mencuri perhatian bangsa lain kerana ia terlalu istimewa berbanding bulan lain.

Turut mengimbau kenangan ketika di bulan puasa ialah bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang sudah biasa bergaul dengan rakan sepasukan beragam Islam.

Menurut pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing, London dan Rio itu, paling menarik ketika di bulan Ramadan ialah ketika menjalani rutin latihan harian.

“Ketika berlatih atau ada kejohanan di bulan puasa, kalau ‘siren’ turun makan sahur berbunyi, kami beramai-ramai dengan rakan sepasukan lain turut bersahur bersama-sama,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Chong Wei mengakui bahawa itu adalah kenangan terindahnya ketika bergaul dengan rakan sepasukan berbangsa Melayu dan ketika dia mula meningkat dewasa.

“Ketika berlatih ada rakan kita yang sedang berpuasa tapi kita hormat dengan minum air di hujung gelanggang.

“Bagaimanapun, ada juga cerita kelakar, kerana pernah menjadi budak suruhan untuk membungkus makanan. Apa pun inilah pengalaman yang mengeratkan hubungan kita sebagai satu rakyat Malaysia,” katanya.

Juara Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali itu juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh rakan-rakannya yang beragama Islam.

“Kepada yang tidak berpuasa, tolonglah hormat kawan-kawan yang berpuasa. Bersabar dan cuba jangan makan gelojoh depan mereka yang berpuasa terutama sekali di bazar Ramadan,” katanya.

Dalam status Facebook itu, Chong Wei bukan saja mengakui dia bangga menjadi rakyat Malaysia malah kelihatan segak mengenakan baju Melayu berwarna hijau berserta sampin dan songkok.

“Bukankan ia sangat luar biasa menjadi rakyat Malaysia. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 6:48 PM