XAVI melambai kepada penyokong Barcelona di Nou Camp pada Mei 2015, perlawanan terakhirnya bersama kelab itu. — FOTO Reuters
XAVI melambai kepada penyokong Barcelona di Nou Camp pada Mei 2015, perlawanan terakhirnya bersama kelab itu. — FOTO Reuters
Reuters

BEKAS pemain tengah Barcelona dan Sepanyol, Xavi Hernandez akan bersara hujung musim ini untuk menjadi jurulatih, menamatkan karier penuh trofi yang berlanjutan dua dekad.

Xavi, yang melakar rekod 767 penampilan buat Barca dan 133 bersama Sepanyol, mengesahkan perancangan persaraannya dalam satu surat terbuka dihantar kepada media Sepanyol, semalam.

“Ini musim terakhir saya sebagai pemain tapi saya tidak sabar untuk memulakan karier baharu sebagai jurulatih,” tulis Xavi, yang bermain dengan kelab Qatar, Al Sadd sejak meninggalkan Barca pada 2015.

“Satu penghormatan untuk bermain bola sepak hingga usia 39 tahun dan kini saya mahu menamatkan musim dengan nota kejayaan, memenangi Piala Emir dan layak ke peringkat seterusnya dalam Liga Juara-Juara Asia.”

XAVI menjulang Piala Dunia yang dimenangi di Afrika Selatan pada 2010. — FOTO Reuters
XAVI menjulang Piala Dunia yang dimenangi di Afrika Selatan pada 2010. — FOTO Reuters

Xavi melakukan penampilan sulung bersama Barca pada 1998 selepas hadir dari akademi terkenal kelab itu La Masia dan kemudian menjadi tonggak tengah pasukan itu, memenangi lapan kejuaraan La Liga serta empat trofi Liga Juara-Juara sebelum menyertai Al Sadd.

Dia seorang daripada tonggak utama Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia kali pertama pada 2010 selain kejayaan pada Kejohanan Eropah 2008 dan 2012, akhirnya bersara daripada pasukan kebangsaan selepas Piala Dunia 2014 yang mengecewakan.

Bulan lalu dia membantu Al Sadd menang Liga Bintang Qatar, divisyen utama negara itu selain layak ke suku akhir Piala Emir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:18 AM