Penyerang Kelantan, Muhammad Fauzi Roslan (kanan) diasak pertahanan Negeri Sembilan, K Lecthumanan dalam aksi Liga Perdana. FOTO Fathil Asri.
Penyerang Kelantan, Muhammad Fauzi Roslan (kanan) diasak pertahanan Negeri Sembilan, K Lecthumanan dalam aksi Liga Perdana. FOTO Fathil Asri.
Attirmidzie Rahman


KELANTAN masih buntu meraih kemenangan di laman sendiri apabila dibelasah Negeri Sembilan, 5-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam ini.

Skuad Hoben Jang Hoben berjaya mencipta jaringan pendahuluan menerusi Ferris Danial yang bertindak memperdayakan pemain pertahanan Kelantan dengan melakukan sepakan deras di sebelah penjuru kiri gawang gol menewaskan penjaga gol tuan rumah, Damien Lim.

Pada minit ke-15 sepakan percuma penyerang import dari Afghanistan, Mustafa Zazai dari luar kotak penalti menerjah rendah di sudut kiri gawang lawan bagi menghasilkan gol penyamaan tuan rumah.

Ferris Danial sekali lagi menambah koleksi jaringan peribadinya apabila meledak gol kedua pada minit ke-43 selepas mudah merembat masuk bola di kawasan kotak penalti pasukan The Red Warriors (TRW).

Babak kedua perlawanan Ferris Danial melengkapkan jaringan hatrik minit ke-50 hasil hantaran lintang yang disudahkan rembatan leret ke jaring gol.

Selang empat minit, Jose Neto sekali lagi menghukum kealpaan barisan pertahanan TRW apabila menjaringkan gol keempat menerusi rembatan deras dalam kawasan penalti.

Pada minit ke-56, Mohammad Ridzuan Abdunloh yang bertindak membuat larian solo melakukan rembatan deras menewaskan Damien Lim kali kelima.

TRW mendapat satu lagi gol saguhati pada minit ke-90 menerusi pemain gantian Mohamad Hakimi Abdullah yang melakukan sepakan leret hasil larian solo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 11:33 PM